Friday, March 26, 2021

Popcorn dan air mineral.

"Nanti jangan lupa beli air mineral," pesan Razali kepada Shila. Sekeping wang kertas berwarna merah bertukar tangan. Shila menyambutnya pantas sambil berlari-lari anak menuju ke kaunter pembelian makanan ringan. Barisan begitu panjang sekali biarpun banyak kaunter yang dibuka ketika itu. Pemandangan yang biasa dilihat setiap kali hujung minggu.

Razali melabuhkan punggungnya di kerusi berdekatan. Tiket wayang yang disimpan di poket belakang jeans biru lusuhnya dikeluarkan. Dia memeriksa waktu tayangan di tiket yang dibeli itu. Kemudian jam di telefon bimbitnya dipandang sekilas. Dia mengeluh berat.

"Dah tau cerita nak start, time tu la nak beli popcorn lah, apa lah. Orang pergi wayang nak tengok cerita. Kalau nak makan baik pergi kedai makan," rungutnya sambil matanya melihat ke arah pintu masuk ke panggung wayang kalau-kalau sudah boleh masuk untuk filem yang akan ditontonnya. Belum lagi. Masih ada sepuluh minit lagi sebelum filem bermula. Biasanya dah boleh masuk, lambat pula kali ini.

Shila mengira satu demi persatu orang yang berbaris di hadapannya. Ada 5 giliran lagi sebelum gilirannya sampai. Barisan nampak panjang kerana semua yang datang secara berkumpulan turut bersama beratur sambil berborak sementara menunggu giliran sampai. Kaunter pun banyak dan bergerak pantas. Sekejapan saja dia sudah berada di hadapan sekali. 

Shila memerhatikan pengunjung yang datang bersama teman-teman masing-masing begitu gembira sekali memesan makanan dan minuman bersama-sama. Tabah sahaja pekerja yang bertugas di kaunter itu melayan mereka. Nak harapkan Razali beratur sama beli makanan? Jangan harap. Beli tiket pun tadi gigihlah dia beratur seorang diri dengan alasan Razali ingin ke toilet. 

Memang begitu pattern Razali.

Bila mahu beli makanan yang dijual sama ada di dalam kedai atau burger tepi jalan pun, mesti Shila yang disuruhnya beli. Dia cuma hulur duit. Itu pun cukup-cukup saja. Kadang-kadang tu cukup pun tidak. Seyap-senyap dia tambah sendiri. Demi tak nak keruhkan keadaan dia turutkan saja. Razali akan sentiasa tunggu dalam kereta dan setiap kali dia kembali bersama makanan, ada saja yang tidak kena pasti ada saja bahan untuk dibebelnya. Kenapa lambat sangatlah, itulah, inilah. Bila disuruh beli sendiri dibahasakan kita semula, minta tolong sikit pun tak boleh. Padahal dia yang malas beratur, lepas tu tak pandai nak order benda yang nak di beli.

Pernah satu kali, di awal-awal perkenalan suatu masa dulu Razali cuba mahu tunjuk gentlema. Dia tawarkan diri untuk belanja makan dan orderkan makanan di kaunter. Suara Razali pula memang sejak azalinya memang perlahan bila berbicara, tapi disebabkan suasana restoren yang bising dan bingit, pekerja kaunter itu terpaksa bertanya berkali-kali untuk mendapatkan kepastian. Terus naik suara Razali dibuatnya. Terasa dirinya seakan-akan dipermainkan oleh remaja itu, terus sahaja mereka keluar dari kedai makan tersebut selepas Razali memberikan bebelan ringkas kepada pekerja di kaunter itu.

Tapi Razali baik orangnya sebenarnya. Cuma tak gemar order makanan sendiri, atau pun beratur panjang untuk membeli sesuatu yang dirasakan tak perlu. Shila langsung tak ada masalah dengan perangainya yang satu itu kerana ada banyak lagi perangai baik Razali yang boleh mengatasi kekurangan itu.

Menu-menu makanan yang menyelerakan yang terpampang di atas kaunter diamatinya satu demi persatu. Selain popcorn dia seperti mahukan hotdog. Cup in a corn pun menarik juga. Wah, nugget pun sedap.Ice lemon tea di peanggung wayang paling sedap itu pun tak boleh tak beli. Shila telan liur. Kalau beli combo popcorn dan air memang cukup-cukup saja wang yang ada di tangan. 

Baginya dia tiada masalah untuk menggunakan wang sendiri untuk beli makanan seperti yang diinginkan, tapi nanti kalau dibuat pasti akan dimarahi Razali pula. Makanan di panggung wayang mana ada yang murah. Membazir katanya. Baik simpan duit tu untuk masa depan katanya. Maka dengan itu setiap kali keluar dengan Razali tak pernah dia berbelanja sesuka hati terutamanya dalam bab makanan. Makan apa-apa pun nanti jadi tinja juga, itu moto hidup Razali.

"Next!" panggil pekerja kaunter yang baru saja selesai melayani sekumpulan perempuan yang lebih kurang sebaya dengan Shila. Wah bukan main banyak makanan yang dibeli mereka. Rasa jeles pun ada disaat itu.

"Bagi saya Combo 1 satu. Dengan corn in a cup satu. Berapa ya?" soal Shila. Akhirnya beli Corn in a cup sebab dia pasti Razali akan sukakannya.

"Satu Combo 1, dan satu corn in a cup. Semua sekali sebelas ringgit lima puluh sen," balas pekerja itu sambil menjeritkan pesanan yang di pesan oleh Shila itu semula kepada pekerja lain untuk disiapkan.

Pantas Shila menunjukkan sekeping kad kepada pekerja itu.

"Wave ke pin?" soal pekerja itu.

"Wave," jawap Shila.

"Tap kat sini ya," arah pekerja itu selepas memasukkan jumlah bayaran yang perlu dibayar Shila ke dalam wireless credit card terminal merchant machine. Shila patuh dan sepantas matanya berkelip resit pun keluar dari terminal tersebut.

Makanan dan minuman yang dipesan telah pun siap dibungkus. Cepat-cepat Shila berjalan laju menuju ke arah Razif menunggunya sejak dari tadi. Ada lima minit lagi sebelum waktu filem bermula. Razali sudah tunggu betul-betuldi depan pintu masuk sebelum ke  dewan panggung wayang. Raut wajahnya kelihatan tegang. 

Shila faham sangat, Razali jenis yang suka masuk awal ke dewan panggung wayang. Dia betul-betul tidak suka apabila masuk lambat dan terpaksa lalu dilaluan kerusi yang sudah diduki orang. Dia tidak sukakan situasi tidak selesa itu. 

"Hai, nasib baik sempat," tegur Shila sebaik dia menghampiri Razali.

"Nasib baik awak sampai sekarang. Lambat sikit tadi saya masuk terus je," balas Razali dengan suara yang perlahan..

"Ramai orang tadi," balas Shila. Tiada balasan dari Razali. Mereka beratur dan selangkah demi selangkah mereka sampai ke check point di mana tiket wayang diperiksa.

"Hall 1, naik atas belok kiri ya," ujar pekerja yang memeriksa tiket mesra.

"Terima kasih," balas Shila dengan nada yang riang sambil berjalan laju mengejar Razali yang sudah beberapa langkah dihadapan dengan bantuan langkah kaki panjangnya. Senyap saja mereka sepanjang perjalanan ke tempat duduk. Nasib baik barisan kerusi mereka masih kosong. Belum ada sesiapa yang duduk di mana-mana kerusi.

Mereka duduk diam sambil menunggu. Sambil menunggu Shila mula mengunyah popcorn sedikit demi sedikit. Dipelawanya corn in a cup kepada Razali. Tanpa berlengah Razali terus menyambut dan membuka penutup cawan berisi jagung yang masih panas itu. Aroma buttery jagung yang menyelerakan  semerbak masuk ke dala rongga hidung mereka. 

Sesuap demi sesuap Razali mengunyah sehingga tinggal separuh cawan jagung yang tinggal. Jagungnya lembut. Kuahnya berkrim dan ada rasa masin-masin manis yang seimbang. Tekaknya meminta dia berhenti mengunyah.

"Nak air mineral," minta Razali.

Dengan pantas Shila tercari-cari air mineral yang tidak dibelinya tadi.

Lantas dia menghulurkan air iced lemon tea kepada Razali.

"Lupa nak beli. Minumlah air ni dulu," ujar Shila apabila Razali tidak menyambutnya.

"Kan saya cakap beli air mineral tadi. Kenapa tak beli?" balas Razali dengan suara yang agak meninggi dari kebiasaannya.

"Lupa. Bukan sengaja," balas Shila sambil meletakkan semula air tersebut kedalam tempat letak air.

"Pergi lah, beli sekarang," desak Razali. Suaranya sudah kembali mendatar.

"Cerita dah nak start ni. Lepas habis tak boleh?" soal Shila lagi. Berat sungguh punggungnya untuk diangkat. Lagi-lagi apabila satu demi persatu kerusi dibarisan mereka sudah dipenuhi oleh penonton yang lain.

"Salah sendirikan kan?. Saya dah surmintauh awak beli air mineral tadi kan? Jagung yang tak disuruhnya tu juga yang dibelinya. Belikan saya air mineral," desak Razali lagi. Suaranya perlahan saja dan dia bercakap betul-betul di telinga Shila.

"Oklah saya beli. Duit?" Shila menghulurkan tangan.

"Pakailah duit tadi," balas Razali. Enggan mengeluarkan modal lagi. Sudah terlebih budgetnya hari ini untuk keluar dating. Ingat senang cari duit zaman sekarang ni. Dah ajak dating belanja tengok wayang dan belanja makan kira dah untung dah sebenarnya ni. Kalau kaya duit banyak bolehlah nak pergi marikh pun dia tak ada masalah. Ekonomi sekarang ni memang tak mengizinkan.

Razali mengeleng-geleng kecil memerhatikan Shila yang bersusah payah merentasi tempat duduk yang sudah berpenghuni untuk keluar dari dewan wayang. Bagi arahan simple pun tak boleh nak ikut. Susah sangat ke nak beli air mineral? Susah sangat ke nak ingat untuk beli air mineral? Mahal sangat ke nak beli air mineral sampai itu pun nak minta duit darinya. 

Bukan nak berkira sangat, tapi kalau semua nak harap pada dia keluarkan belanja seorang memang boleh bankrup jadinya. Hidup ni kenalah ada tolak ansur. Beli tiket tadi dah pakai duit dia. Beli makanan ringan pun dia dah bagi duit juga. Ini air mineral yang patutnya dia beli tadi tapi dia tak beli pun nak minta duitnya juga. Amboi amboi, banyak betul cantik dia. Ini kalau tak diajar awal-awal nanti bila dah kahwin nanti makin menjadi-jadi pula.

Tekak Razali terasa semakin kering. Nak tak nak terpaksa disedutnya juga air sejuk berperisa yang ditawarkan Shila tadi. Lega sebentar tekaknya. Iklan sudah habis ditayangkan. Cerita pun bermula. Cerita aksi trilogi terakhir yang ditunggunya sejak beberapa tahun yang lepas. Dia mesti fokus. Jika miss sedikit pun dia pasti akan terasa rugi.

..

Shila berjalan perlahan meninggalkan kaunter makanan ringan di panggung wayang bersama air mineral di tangan.  Dipulasnya penutup botol air mineral tersebut sehingga terbuka. Diteguknya seteguk dua sehinggalah habis separuh botol. Air yang jernih dan bersih itu meluncur turun ke tekak dan terus ke perutnya. 

"Sedap juga air mineral ni. Patutlah beria dia nak air mineral," ujar Shila. Dia berjalan perlahan melenggang kangkung menuju ke pintu keluar panggung wayang. Botol mineral yang masih berisi separuh itu dicampakkan ke dalam tong sampah berdekatan. Dan dia terus berjalan terus ke hadapan tanpa menoleh ke belakang lagi.


0 comments: