Sunday, February 21, 2010

hehe..

terbaca balik assignment psiko aku 3 tahun yang lepas..terjumpa masa aku godeh2 pc aku aritu..huhu..cam klaka plak bila baca balik..kalau korang lecturer aku brape korang nak bagi grade kat aku???

22 September 2007
       Hari ini adalah hari Sabtu bersamaan dengan 10 Ramadhan 1426. Pada hari ini sepatutnya adalah hari cuti bagi saya dan rakan-rakan yang lain. Ini berikutan dengan Latihan Mingguan Ko-kurikulum yang sudah berakhir sebaik saja masuk bulan puasa.
Namun kami dikejutkan dengan perkhabaran bahawa akan diadakan pemeriksaan bilik oleh senior-senior kami. Pada mulanya kami memberontak kerana merasakan perkara ini tidak adil buat kami. Namun kami terpaksa akur akan arahan dari senior kami itu. Perlakuan ini dikenal pasti sebagai keakuran kepada otoriti iaitu merujuk kepada proses di mana individu akan mengikut arahan seseorang yang bersifat autoritif.
Sejak pagi lagi kami mula berkemas, menghilangkan segala habuk dan sawang-sawang yang melekat di dinding dan lelangit. Kami percaya, dengan melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh dan menjadikan bilik kami bersih, kami akan mendapat pujian dari senior kami. Sekurang-kurangnya usaha kami dihargai. Ini adalah berdasarkan teori Perkembangan Moral Kohlberg pada peringkat satu iaitu berorientasikan ganjaran. Jika kami melakukan sesuatu perkara dengan baik maka kami akan mendapat ganjaran. Begitu juga dengan sebaliknya.
         Sebaik selesai bilik diperiksa, kami diarah untuk turun berkumpul di belakang Kafe Indah, iaitu tepat jam 11 malam. Tujuan kami berkumpul adalah untuk memeriksa kehadiran anggota kami yang hadir dan melakukan aktiviti ini. Namun malangnya terdapat beberapa orang rakan kami yang tidak turun berkumpul tanpa sebab dan alasan yang kukuh. Perasaan tidak puas hati bersarang dalam hati kami ketika itu kerana dengan sengajanya salah seorang dari rakan kami, Sti, yang tidak hadir pada malam itu telah menyalahgunakan hubungan rapatnya dengan senior kami sebagai alat untuk melepaskan diri dari aktiviti ini. Akibatnya kami telah di beri hukuman akibat perbuatan rakan kami itu.
          Sebaik tamat perjumpaan itu saya dan beberapa rakan lain bersemuka dengan Siti. Keadaan menjadi tidak terkawal kerana berlandaskan emosi, kami telah memarahi Siti dengan teruk. Siti langsung tidak boleh menerima hakikat bahawa dirinya bersalah. Pada ketika itu kami seperti sudah hilang kawalan. Kawalan adalah tahap sejauh mana kita boleh menghalang atau mendorong sesuatu kejadian. Dalam hal ini kami tidak mampu untuk menghalang diri kami dari terus memarahi Siti. Namun akhirnya Siti telah meminta maaf atas kesalahan dirinya beberapa hari kemudian. Dan atas dasar persahabatan kami telah memaafkan kesalahannya itu. Perkara ini telah menjadi pengajaran buat Siti.
 
26 September 2007
        Sejak semalam lagi saya tidak boleh melelapkan mata saya. Pada hari ini saya dan kumpulan saya akan mempersembahkan pembentangan SHE 101 iaitu Hubungan Etnik kepada penasihat akaedemik kami. Dalam tempoh beberapa hari ini saya tidak mampu tidur dengan sempurna kerana kerisauan mengenai pembentangan tersebut. Saya selalu terfikirkan bagaimanakah akibatnya jika tiba-tiba saya tiada suara pada hari ini atau tiba-tiba saya terjatuh ketika sedang melakukan pembentangan kelak. Apa yang saya lalui ini adalah merupakan kecelaruan Anziati. Kecelaruan Anziati ialah merupakan reaksi biasa terhadap ketegangan.
Semakin lama saya berada dalam keadaan ini telah menyebabkan saya mengalami stress. Saya sukar untuk menumpukan perhatian terhadap kerja-kerja lain dan sukar untuk menyusun pemikiran secara logik.                  
      Walaupun ketika tu saya sedang berbual dengan teman sebilik saya, saya masih memikirkan mengenai pembentangan tersebut dan tidak menumpukan sepenuh perhatian mengenai perkara yang dikatakan oleh rakan saya itu.
            Pada saat-saat pembentangan akhirnya saya telah mengalami serangan panik. Serangan panik adalah episod perasaan takut dan risau yang amat teruk. Benar, saya terlalu risaukan bagaimana prestasi saya apabila membentangkan topik itu kelak. Ketika rakan saya yang lain membentangkan bahagian masing-masing, saya dapat rasakan degupan jantung saya yang pantas, badan saya berpeluh-peluh dan yang paling teruk adalah saya terasa seperti hendak pitam dan mengalami kesukaran bernafas. Ini merupakan tanda-tanda serangan panik.
       Saya mengambil keputusan untuk bertenang. Saya cuba merelekskan diri dan akhirnya saya berjaya melalui saat-saat pembentangan itu dengan baik. Selain itu cara yang baik untuk mengurus stress adalah dengan melakukan senaman dan bermeditasi.

4 Oktober 2007
        Sebaik saja bersolat fardhu Subuh, saya terus memanjat katil untuk meneruskan tidur. Kelas saya pada hari ni bermula jam 11 pagi. Jadi masih ada banyak masa untuk saya bersiap nanti. Saya tahu perbuatan saya ini tidak elok. Kalau diketahui ibu saya di kampung pasti saya dileterinya. Saya teringat, ibu akan memarahi saya setap kali saya bercadang untuk tidur semula selepas mengerjakan solat Subuh. Katanya rezeki tdak masuk. Ingatan ini adalah berdasarkan ingatan jangka masa panjang. Ingatan saya itu juga dikenal pasti sebagai ingatan eksplisit iaitu melibatkan ingatan tentang peristiwa tertentu dalam konteks masa dan tempat.
      Tak tunggu lama, saya terus melelapkan mata saya. Saya sangat mengantuk, apatah lagi malam tadi saya masuk tidur jam 3 pagi lebih berikutan mengulangkaji untuk ujian pada petang ini. Dorongan untuk tidur ini dipengaruhi oleh dorongan tidurhomeostatik iaitu proses fiziologi yang cuba memastikan tidur mencukupi untuk berfungsi.
        Sebaik saya terjaga iaitu kira-kira jam 8.30 pagi, ketika itu sinar cahaya matahari telah menerobos masuk melalui tingkap bilik yang sentiasa dibiarkan terbuka. Proses ini menyebabkan saya sedar pada waktu tertentu iaitu dengan adanya cahaya.
        Saya sempat termenung di birai katil saya sebelum saya turun dari katil. Saya cuba mengingat semula mimpi saya sebentar tadi. Saya bermimpikan sesuatu yang aneh dan pelik. Jika difikir semula sememangnya mimpi itu tidak logik. Namun saya dapat mengingati mimpi tersebut dengan jelas. Saya bermimpikan saya hidup di kawasan pergunungan dan bekerja sebagai penggembala kambing biri-biri. Namun hairannya di dalam mimpi tersebut, saya tetap menjalani kehidupan normal saya sebagai pelajar Universiti Sains Malaysia. Saya hanya akan bekerja sebagai penggembala kambing biri-biri sebaik kuliah saya tamat setiap hari.   
           Kemudian saya tersedar dari mimpi.
         Setelah difikirkan semula, perkara yang saya alami sebentar tadi ialah mimpi dan saya terjaga pada fasa REM iaitu Rapid Eye Movement. Jika saya terjaga pada fasa NREM iaitu Non Rapid Eye Movement, saya pasti sukar untuk mengingati mimpi tersebut. Mimpi yang selalu terjadi pada fasa NREM ialah mimpi dalam bentuk biasa. Saya juga tidak akan dapat mengingati mimpi saya sekiranya saya tidak terjaga ketika saya sedang bermimpi.
          Secara realitinya saya sangat tidak sukakan kambing biri-biri. Ini adalah kerana pada masa saya kecil dahulu saya pernah disondol oleh kambing biri-biri dan perkara ini telah menjadikan saya fobia untuk mendekati kambing biri-biri walaupun saya sudah meningkat dewasa sekarang. Fobia adalah mempunyai ketakutan yang amat sangat terhadap objek tertentu yang biasanya tidak ditakuti oleh orang lain. Walaupun saya sedar bahawa ketakutan yang saya alami itu adalah tidak rasional, namun saya sukar untuk mengawalnya. Saya pasti akan melarikan diri sebaik ternampak kambing biri-biri walaupun kedudukan haiwan itu berada jauh dari saya.
          Saya cuba untuk menggagahkan diri saya supaya terus bangun dan tidak menyambung semula tidur. Saya memotivasikan diri saya agar saya pergi ke kuliah hari ini kerana ini adalah kuliah terakhir saya untuk subjek LKM 400. Saya mesti tegar kerana jika saya tidak ke kelas saya akan ketinggalan.Motivasi adalah satu keadaan yang mengaktifkan dan menentukan arah tingkahlaku. Akhirnya saya berjaya memotivasikan diri saya dan mengucapkan selamat tinggal kepada katil saya pada hari ini.

0 comments: